Saturday 23 July 2011

Umur Bukan Penghalang Untuk Terus Berbakti

Selepas melihat-lihat tukang masak yang sedang sibuk memasak lauk-pauk, Encik Saw berjalan meninggalkan Kafe milik Koperasi OKU Pulau Pinang yang berada di dalam kawasan Persatuan Kanak-Kanak Cerebral Palsy Pulau Pinang (SCAP). Semasa meninggalkan Kafe, beliau menyusun beberapa buah kerusi yang kelihatan tidak teratur. Kemudian beliau pergi ke bahagian belakang SCAP untuk memerhatikan seorang pekerja OKU yang sedang menanam cili. Beliau berjalan menghampiri pekerja tersebut lalu menerangkan cara-cara menanam cili yang betul sehingga pekerja tersebut faham. Selepas itu, beliau berjalan masuk ke dalam pejabat SCAP lalu duduk di tempatnya. Beliau meneliti beberapa fail yang berada atas mejanya. Lepas itu, beliau menelefon seseorang untuk berbincang sesuatu yang berkaitan dengan Charity Food Fair yang bakal diadakan tiga bulan lagi. Pada petang itu, beliau dan dua orang lain memunggah barang-barang jualan ke dalam keretanya untuk di bawa ke booth yang diberi percuma oleh sebuah pihak pasaraya untuk digunakan pada hari sabtu dan Ahad nanti.

Adakah anda tahu siapa dan berapa umur Encik Saw? Untuk makluman anda, Encik Saw bukan merupakan pemuda yang berumur 30-an atau 40-an. Malah, beliau juga bukan lelaki yang berumur 50-an. Sebenarnya, beliau merupakan seorang warga emas yang telah berumur lebih kurang 78 tahun.

Berbeza dengan warga emas lain yang biasanya menghabiskan kebanyakan masa berehat di rumah bersama-sama teman hidup, anak-anak dan cucu, berlepak dengan rakan-rakan, bersiar-siar dan melancong, beliau melaungkan kebanyakan masanya di SCAP. Beliau bekerja secara sukarela tanpa mengira waktu. Beliau masih berada di pejabat walaupun lepas waktu pejabat. Adakalanya hari Sabtu dan Ahad pun beliau datang ke pejabat untuk menguruskan sesuatu. Beliau juga ke sana sini menghadiri mesyuarat atau berjumpa orang untuk berbincang sesuatu.

Aku difahamkan bahawa beliau mula berkecimpung dalam aktiviti kesukarelawan sejak zaman muda lagi. Pada masa itu, beliau mula menganjurkan kutipan derma bagi membantu orang miskin. Beliau juga merupakan seorang pakar dalam menganjurkan charity food fair. Beliau juga pernah menasihati lebih daripada 30 buah NGO dalam menganjurkan food fair.

Beliau telah melibatkan diri dalam SCAP sejak tahun 80-an di mana beliau menjadi salah seorang ahli jawatankuasa. Beliau sentiasa berusaha untuk mendapatkan dana bagi memajukan SCAP. Beliau juga berusaha untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada kanak-kanak CP.

Pada tahun 2005, beliau telah mengambil inisiatif menubuhkan Koperasi-OKU-Pulau-Pinang-Berhad (nama asal ialah Koperasi Cerebral Palsy Pulau Pinang) untuk menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada OKU. Sebagai Presiden, beliau sentiasa berusaha memajukan koperasi tersebut demi kebaikan OKU. Beliau telah mengusahakan beberapa projek termasuk projek kitar semula, kedai serbaguna, dobi, projek penanaman cili dan kafeteria.

Apabila Persatuan adakan pesta amal makan atau jualan amal, boleh dikatakan beliau merupakan orang yang paling sibuk. Beliau akan berada di sana sepanjang hari untuk memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar dan jayanya. Begitu juga apabila Koperasi mengadakan jualan di sesuatu tempat, beliau akan membawa barang-barang jualan ke sana, menggantungkan banner, bersama-sama menjual barang-barang dan berkemas.

Aku betul-betul kagum akan pergorbanan beliau terhadap OKU lebih-lebih lagi pada usia ini. Banyak orang muda mungkin juga tidak sanggup berkorban seperti beliau. Beliau merupakan salah seorang ’hero penyayang’ yang dikagumi.

~chin2~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...