Tuesday 19 July 2011

"Siapa boleh bantu?" "Saya"

Diariku pada 11 Jun 2003…

Sudah 3 hari semester pertama bermula. Aku masih belum dapat kawan sekursus yang boleh membantu...membawaku berulang-alik antara asrama dan dewan kuliah. Seorang PPMS, Zaleha terus membantuku walaupun minggu suaikenal telahpun berlalu. Dialah yang menghantarku ke kuliah. Namun, aku tidak boleh terus bergantung padanya kerana dia mempunyai tanggungjawab sendiri sebagai seorang pelajar. Dalam masa yang sama, aku ingin terus belajar dan tinggal dalam kampus. Aku perlu menyelesaikan masalah ini segera.

Pada malam itu, saya mengikuti Kuliah Pengantar Isu-Isu Ekonomi bersama-sama beratus-ratus pelajar lain. Aku meminta Zaleha membuat satu pengumuman agar dapat mencari kawan yang boleh bantuku. Dengan kebenaran pensyarah, dia membuat pengumuman sebelum kuliah bermula.

“Saya buat pengumuman ini bagi pihak Chin2 yang merupakan seorang OKU. Siapa di sini belajar Sains Kemasyarakatan dan tinggal di Aman Damai? Siapa sudi membawa Chin2 berulang-alik dari Aman Damai ke kelas?”

Jika tak silapku, tiada sesiapa pun yang berani mengangkat tangan pada ketika itu. Tidak boleh salahkan mereka memandangkan kebanyakan mereka juga pelajar tahun pertama masih belajar menyesuaikan diri dalam kampus.

“Sesiapa yang boleh bantu, sila datang ke depan untuk bertemu Chin2 selepas kuliah ini,” kata pensyarah sebelum memulakan kelas.

Setelah kuliah tamat, beberapa orang telah datang berjumpa denganku untuk berbincang bagaimana mereka boleh membantuku. Salah seorang yang ialah Kak Jameyah yang lebih dikenali KJ. Dia bukannya penghuni Aman Damai, tetapi tinggal di luar USM. Walaubagaimanapun, KJ dengan sukarelanya menawarkan bantuannya untuk membawaku dengan keretanya. Aku berasa lega.

KJ telah membantuku sejak malam itu. Dia datang ke Aman Damai untuk membawaku ke setiap kelas, memimpin tanganku untuk berjalan dari tempat letak kereta ke dewan kuliah dan bilik tutorial, dan selepas kelas dia akan menghantarku balik ke asrama. Selain kuliah dan tutorial, dia juga membawaku ke perpustakaan, kafe, bank dan sebagainya untuk pelbagai urusan. Dia bukan membantuku sehari dua atau beberapa minggu saja. Namun, dia telah bantuku sepanjang pengajian kami selama tiga tahun.

Jika bukan kerana Hero Penyayang ini, aku tidak dapat membayangkan bagaimana aku ingin meneruskan pengajianku.

~chin2~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...