Wednesday 21 September 2011

Aku, Kem Mesra OKU I & KP

Nak tahu macam mana mulanya Kem Mesra OKU? Nak tahu macam mana aku boleh join Kelab Penyayang (KP)?

Begini ceritanya...

Semester pertama hampir sampai ke penghujung. KJ telahpun bersama-samaku, membantuku hampir satu semester. Semakin hari KJ bersamaku, dia semakin sedar akan keperluan-keperluan khas aku sebagai seorang OKU yang mengalami Cerebral Palsy untuk menuntut dalam kampus. Dia juga rasa aku perlu ada lebih ramai rakan rapat yang sebaya denganku (Semester pertama, aku meluangkan kebanyakan masa bersama geng yang jauh lebih tua daripadaku. Mereka memasuki USM dan mengikuti pengajian di PPSK melalui saluran kedua di mana mereka telah pun bekerja dan meneruskan pelajaran semula. Tapi, aku tak kisah bersama geng mana pun. Yang penting aku dapat meneruskan pengajian). Selain aku, KJ juga mengenali pelajar OKU lain, Iza dan Wong, yang juga tinggal di Desasiswa Aman Damai. KJ berpendapat kami perlu jaringan sokongan sosial yang lebih kuat terutamanya daripada kalangan pelajar.

KJ mula sembang dengan pensyarah-pensyarah kami akan keperluanku. Salah seorang pensyarah yang lebih suka dikenali Captain telah memberi respon yang positif. Captain juga tahu pelajar OKU lain yang tinggal di Desasiswa Aman Damai memandangkan dia seorang penolong pengawa desasiswa tersebut pada masa itu. Kebetulan dia juga penasihat KP yang sememangnya ingin membantu orang. Dia ajak aku dan KJ menyertai KP agar kami seterusnya boleh mengajak ahli-ahli KP membantu OKU. Dengan ini, bukan aku saja ada sokongan sosial yang lebih kuat, tetapi pelajar-pelajar OKU lain juga boleh mendapat sokongan. Captain dan KJ terus berbincang macam mana nak wujudkan sokongan sosial yang lebih baik bagi OKU. Akhirnya KJ telah mencadangkan Kem Mesra OKU.

Pada awal semester kedua, KJ telah mengusahakan Kem Mesra OKU selama 3 hari 2 malam (Jumaat hingga Ahad) di Kegiatan Sukan Air Tanjung Bunga. Harap anda jangan salah faham akan konsep Kem Mesra OKU tersebut. Kem tersebut bukannya mesra dari segi aksessibiliti iaitu tempat yang kami adakan kem bukannya mesra OKU, tetapi mesra dari segi sosial di mana peserta-peserta kem bermesra dengan pelajar OKU, menyedari keperluan-keperluan kami seterusnya berkawan rapat dengan kami serta membantu kami.

KJ ajak rakan-rakan yang sekursus dengan kami. Iza ajak rakan-rakannya. Aku, Captain, KJ, Iza, Wong, rakan-rakan kami dan beberapa orang lagi menyertai kem tersebut. Ada antara kami telah menyertai KP dan ada yang belum. Aku dan KJ masih belum menyertai KP lagi.

Pada malam pertama, peserta-peserta memperkenalkan diri masing-masing dan berkongsi pandangan dan pengalaman yang berkaitan OKU. Ada yang pernah membantu OKU, ada yang hanya pernah membantu ahli keluarga yang uzur, ada yang hanya pernah melihat OKU dan menegur sapa saja dan sebagainya. Pada dua hari yang seterusnya, OKU dan juga rakan yang telah membantu kami OKU berkongsi dengan peserta-peserta lain akan cabaran-cabaran kami, kami semua sama-sama berbincang tentang keperluan-keperluan pelajar OKU dalam kampus, strategi-strategi mewujudkan sokongan sosial terhadap pelajar OKU yang lebih kuat terutamanya dalam kalangan pelajar kampus dan membantu OKU.

Sepanjang tiga hari tersebut, peserta-peserta bukan OKU dan OKU melakukan aktiviti bersama... tidur bersama dalam dorm, makan bersama, berbarbecue dan sebagainya selain berbincang. Mereka bergilir-gilir membantu kami yang OKU. Menemani atau memimpin kami menaiki dan menuruni tangga (dorm kat tingkat atas), memimpin kami berjalan-jalan tepi pantai, mengambil makanan dan minuman untuk kami dan membantu apa-apa yang kami perlu. Dalam masa tiga hari, mereka telah mengenali kami OKU dengan lebih rapat dan memahami keperluan-keperluan kami.

Berkayak pada pasir...hehehe...saja ambil gambar

Lepas balik daripada kem, aku dan KJ serta beberapa peserta lain terus menyertai KP. Dengan ini, KP mula misi baru iaitu membantu OKU dalam kampus.

~chin2~

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...